Sabtu, 5 Mei 2012

Kerjaya Pilihan

Apabila ditanya oleh guru ketika di bangku sekolah rendah mengenai cita- cita dan kerjaya pilihan lantas ramai yang menyatakan bahawa mereka ingin menjadi seorang askar, polis, dan tidak kurang juga anggota bomba dek kerana terpengaruh dengan keterampilan mereka yang menyandang karier tersebut. Apatah lagi seragam yang dipakai cukup untuk membuatkan orang- orang di sekitar mengagumi mereka.

Namun, setelah usia semakin meningkat, cita- cita tersebut semakin lama semakin hilang disebabkan kecenderungan terhadap sesuatu bidang lain yang barangkali tidak pernah diketahui sebelumnya. Penulis suatu ketika pernah bercita- cita menjadi seorang kelasi dengan harapan dapat belayar mengelilingi dunia seperti Azhar Mansor.

Perubahan pemikiran dan taraf hidup menyaksikan manusia mula berlumba- lumba mengejar balasan yang bakal diterima untuk sesuatu kerjaya walaupun terpaksa membelakangkan minat dan kepuasan. Hal ini menyebabkan cabaran dalam memilih kerjaya menjadi sangat tepu.

Sewaktu artikel ini ditulis, penulis mengimpikan untuk menjadi seorang penganalisis kewangan korporat. Bekerja dengan nombor dan risiko adalah sesuatu yang cenderung terhadap penulis. Minat yang mendalam terhadap pengurusan kewangan yang cekap menyebabkan penulis berazam untuk tidak menjadikan harapan tersebut terkubur sebelum sempat ianya dikecapi.

Walaupun begitu, setiap apa yang diingini seandainya tidak disertakan dengan usaha yang setimpal maka kemungkinan untuk menjadikan harapan tersebut suatu realiti amatlah sukar. Oleh itu setinggi mana pun harapan, perlu disertai dengan usaha, doa dan kesungguhan agar ianya benar- benar menjadi kenyataan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan